Rabu, 25 Februari 2009

Histeria di sekolah. Tips elak Histeria: Haron Din saran amal Muawizat

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.

"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.

'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain

ImageIni menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."

Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.

Jangan tinggal solat

"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.

Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.

"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,katanya - azm

(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya- wallahualam)

(Sekiranya ada sebarang kritikan dan pandangan, sila majukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) _

Sabtu, 21 Februari 2009

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.


Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

ImageDengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

ImageSebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

ImageJusteru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.- azm

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298

Ahad, 1 Februari 2009

Watikah rasmi..Cara Mintak Poligami

Suami bin Lelaki
17, Jalan Angkasa,
24300, Kemaman
Terengganu.

Isteri binti Perempuan
17, Jalan Angkasa,
24300, Kemaman
Terengganu.

13 Rebruari 2009

Puan,

PERKARA : PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI

Perkara di atas adalah di rujuk.

2. Sebab utama permohonan ini di lakukan adalah kerana saya ingin melengkapkan kuota yang telah di peruntukkan bagi saya. Buat masa ini kuota yang telah di isi cuma satu, memandangkan masih ada 3 kekosongan, eloklah jika dapat di penuhi secepat mungkin. Pihak yang akan mengisi satu kekosongan ini buat masa ini ialah Cik Hana Fazura binti Ramli yang merupakan setiausaha saya di pejabat. Memandangkan komitmen yang beliau tunjukkan di pejabat amat baik, eloklah jika kita masukkan dia bersama kita di dalam organisasi keluarga kita. Kekosongan yang selebihnya akan di isi di masa akan datang.

3. Untuk makluman pihak puan, yang sebenarnya masalah ini telah lama saya fikirkan tetapi memandangkan poket saya yang selalu nipis, terpaksalah saya tangguhkan dulu permohonan ini di samping kurangnye rasa keyakinan untuk mengemukakan permohonan ini. Kini, setelah saya dapat mengeluarkan kesemua duit pelaburan ASB saya, saya merasakan kembalinya semangat saya yang telah hilang selama ini.

4. Permohonan ini amat setimpal kerana dengan kedudukan sekarang ia menguntungkan kedua belah pihak dan juga pihak ketiga. Selama ini hidup kita bahagia sebab jika tidak, manakan mungkin puan dapat menjadi seperti sekarang. Semua yang puan miliki sudah bertambah besar. Kereta besar, rumah besar, rantai besar dan pakaian besar. Jika dulu potongan puan seperti gitar, kini sudah bertukar menjadi drum. Oleh itu, sudilah kiranya dapat kita kongsi bersama insan lain kebahagiaan kita ini.

5. Pihak puan juga dapat menikmati faedah dari kelulusan permohonan ini kerana puan akan tetap menikmati apa yang telah puan miliki sekarang dengan waktu bekerja lebih singkat dan sistem syif akan di perkenalkan iaitu 1 hari kerja dan 1 hari cuti rehat. Waktu bekerja yang selebihnya akan ditampung oleh pihak ketiga. Kebaikan yang puan akan nikmati ialah waktu rehat yang bebas kerana dalam waktu puan bercuti, saya selaku Penyelia tidak akan memantau aktiviti yang puan lakukan. Pada waktu itu saya cuma akan fokus kepada hasil kerja pihak ketiga. Menguntungkan bukan?

6. Segala kerjasama dari pihak puan saya dahulukan dengan ribuan terima kasih. Saya amat berharap pihak puan dapat meluluskan permohonan saya ini kerana adalah lebih baik jika kita dapat berkongsi kebahagiaan kita ini bersama insan lain. Saya harap permohonan saya ini di balas dengan senyuman penuh keikhlasan dari pihak puan dan tandatangan puan di atas kertas yang saya lampirkan bukannya balingan periuk nasi, pinggan-mangkuk, ketukan senduk dan perkara-perkara yang menyukarkan pihak puan untuk melakukannya.

7. Saya harap puan sudi meluluskan permohonan ini. Hadirkanlah senyumanmu sebagaimana ketika kita menyambut orang baru iaitu bayi kita kedalam keluarga kita 10 tahun lepas. Situasinya lebih kurang sama dengan masa kini. Kita akan menerima orang baru juga cuma bezanya ialah jika 10 tahun yang lepas kita perlu menjaga dan membelainya dengan manja bersama tetapi kali ini, setiap urusan penjagaan dan belaian manja akan di laksanakan oleh saya sepenuhnya.

8. Akhir kata, saya harap permohonan saya ini dapat dibalas secepat mungkin. Semoga kita bersama-bersama dengan pihak ketiga akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya.

Sekian, Terima Kasih.

"BERKORBAN DAN BERKONGSI KEBAHAGIAAN LAMBANG RUMAHTANGGA BAHAGIA"

Yang Ikhlas Memohon,

Suami bin Lelaki