Jumaat, 21 November 2008

Suara Dari Mimbar

APABILA KITA DIUJI ALLAH,
BERDOA DAN BERTAUBATLAH KEPADA-NYA

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala telah mengingatkan di dalam Al-Quran bahawasanya kehidupan dunia ini hanyalah merupakan permainan dan hiburan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-An'aam ayat 32 tafsirnya:

"Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.''

Kehidupan inilah yang banyak menyebabkan manusia lalai dan lupa diri dari mengingati Allah Subhanahu Wataala kerana sifat manusia itulah Allah Subhanahu Wataala telah mengutus Nabi dan Rasul bagi memberikan peringatan supaya mereka bertaubat dan beramal salih. Tetapi masih juga ada di antara manusia yang ingkar dan berlaku sombong di muka bumi ini, tidak mahu mengikut perintah Allah Subhanahu Wataala. Maka kerana itu Allah Subhanahu Wataala menurunkan bala bencana sebagai cubaan dan dugaan agar manusia tidak lalai berterusan dan akan insaf terhadap apa yang mereka lakukan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 tafsirnya:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.''

Sesungguhnya bala yang ditimpakan ke atas manusia bukanlah semata-mata bertujuan untuk menghukum golongan yang zalim dan ingkar terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala sahaja tetapi juga sebagai ujian dan peringatan kepada orang-orang yang beriman. Oleh itu sebagai orang yang beriman hendaklah bersabar dan reda terhadap qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala dan anggaplah ujian tersebut sebagai cubaan dan ujian untuk memantapkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Adapun ujian atau bala yang ditimpakan Allah Subhanahu Wataala ke atas manusia itu ada bermacam-macam keadaan. Di antaranya bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya ataupun ianya dari perbuatan manusia itu sendiri seperti kemelesetan ekonomi, kebakaran dan sebagainya ataupun wabak penyakit seperti taun dan yang menjadi kegemparan dunia sekarang ialah Selesema Burung.

Sebagaiman yang kita maklum bahawa pada masa ini, wabak penyakit Selesema Burung yang juga dikenali sebagai 'Avian Influenza' sedang melanda beberapa buah negara di dunia ini. Penyakit Selesema Burung ialah sejenis penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan serta mendatangkan kematian pada ternakan ayam dan pelbagai jenis burung peliharaan termasuk angsa, itik dan lain-lain yang disebabkan oleh Virus Influenza Type A.

Menurut sumber dari Kementerian Kesihatan bahawa penyakit tersebut juga boleh berjangkit kepada manusia dan orang yang berisiko tinggi untuk dijangkiti ialah mereka yang terdedah secara langsung dengan haiwan yang telah dijangkiti seperti tinggal berdekatan atau bekerja di ladang ternakan, rumah penyembelihan dan pasar. Tanda-tanda penyakit Selesema Burung itu ialah panas badan, sakit tekak atau kerongkong, selesema, batuk, jangkitan mata serta sesak atau susah bernafas.

Berikutan merebaknya penyakit berbahaya tersebut di kebanyakan negara di dunia ini, Negara Brunei Darussalam melalui pihak-pihak bertanggungjawab telah mengambil tindakan dan usaha bagi mengelakkan penyakit tersebut merebak ke negara ini. Di antara langkah-langkah yang telah diusahakan ialah membuat pemantauan bagi memastikan penduduk di negara ini tidak dijangkiti oleh wabak Selesema Burung dengan memperketatkan lagi kawalan kemasukan haiwan serta kawalan kuarantin iaitu dengan mengharamkan kemasukan ayam, itik, jenis-jenis burung dan telur serta menjalankan pemeriksaan-pemeriksaan di ladang ayam bagi tujuan pemantauan telah giat dijalankan dalam usaha mencegah dari merebaknya penyakit tersebut kepada ternakan-ternakan negara ini.

Alhamdulillah, menurut maklumat yang diperolehi dari Kementerian Kesihatan sehingga kini tidak terdapat kes Selesema Burung yang dikesan di negara ini. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berhati-hati dan berwaspada kita ditekankan untuk menjaga kebersihan diri, kawasan rumah serta ladang-ladang ternakan dan persekitarannya. Sememangnya perkara menjaga kebersihan ini telah dititikberatkan oleh ajaran agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 108 tafsirnya:

"Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin.''

Dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abi Malik Al-Asya'rie berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Kebersihan itu sebahagian dari iman." (Riwayat Al-Imam Muslim).

Itulah di antara hikmat-hikmat kenapa agama Islam memerintahkan kita supaya menjaga kebersihan.

Di samping kita memperkatakan tentang penyakit Selesema Burung, elok juga rasanya kita menambah maklumat dan pengetahuan kita. Sebagaimana sumber yang diperolehi dari Kementerian Kesihatan menyatakan penyakit Influenza itu bermacam-macam dan telah menyebabkan jutaan manusia di dunia ini meninggal dunia antaranya:

1. Spanish Flu yang telah berlaku pada tahun 1918, mengorbankan seramai 40 hingga 50 juta orang;

2. Asean Flu yang telah berlaku pada tahun 1957, mengorbankan seramai empat hingga lima juta orang;

3. Hongkong Flu yang telah berlaku pada tahun 1968, telah mengorbankan seramai empat hingga lima juta orang.

Dalam kita menghadapi segala ujian dan bala daripada Allah, kita perlulah bersabar dan kembali kepada Allah Subhanahu Wataala dengan memohon perlindungan daripada-Nya, begitulah juga dalam keadaan kita menghadapi wabak Selesema Burung di mana kita telah berusaha memohon perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala iaitu dengan mengadakan Sembahyang Sunat Hajat Tolak Bala dan doa khas pada setiap selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan sebelum Sembahyang Fardu Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat seluruh negara dibacakan pada setiap sembahyang. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Az-Zumar ayat 8 tafsirnya:

"Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya, kemudian apabila Allah Subhanahu Wataala memberikan sesuatu nikmat sebagai kurnia daripada-Nya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya dan orang lain dari jalan Allah."

Daripada ayat tersebut dapatlah kita mengambil kesimpulan, apabila kita diuji oleh Allah Subhanahu Wataala kita hendaklah kembali kepada hukum-hukum Allah, berserah diri kepada-Nya dengan berdoa, beristighfar serta bertaubat kepada-Nya semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang lalai dan ingkar. Di samping itu kita wajib taat dan mematuhi segala suruhan-Nya dengan melaksanakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan kerana Allah Subhanahu Wataala dan bagi mendapat keredaan-Nya. Dan apabila kita selamat dari ujian Allah Subhanahu Wataala itu, kita hendaklah bersyukur dan jangan kufur kepada-Nya ibarat kata semasa susah ingat Allah, tetapi di kala senang lupa segala-galanya.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa dan memohon hidayat dan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala semoga diri kita, ahli keluarga kita, negara dan umat Islam seluruhnya mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wataala serta selamat dari segala bala bencana. Amin ya Rabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 tafsirnya:

"Mereka telah ditimpa kepapaan kemusnahan harta benda dan serangan penyakit, serta digoncangkan oleh ancaman bahaya musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah."

Tiada ulasan: